Ahad, 22 Februari 2009

Sifat Tawadhuk mengikis perasaan riak dan sombong

UMAT Islam perlu sentiasa mengemaskinikan diri dan hati ke arah kecemerlangan dari semasa ke semasa supaya akan akan menjadi insan disegani, dihormati dalam masyarakat serta dirahmati Allah.

Selain itu, perasaan ingin cemerlang melahirkan watak yang Islami seterusnya menjadi daya penarik bagi pandangan orang bukan Islam dan watak itu mampu menterjemahkan keindahan ajaran Islam.

Orang Islam yang ada keinsafan tinggi, iman teguh, akan menerima apa saja ketetapan Allah ke atas dirinya baik berbentuk kebahagiaan, mahupun berbentuk kedukaan dan mematuhi setiap hukum serta peraturan dengan penuh rela, pasrah tanpa sedikitpun melahirkan tindakan untuk menentang, memprotes atau membantah. Dalam Islam, orang begini disebut sebagai ‘tawaduk’.

Tentu sukar bagi sesetengah manusia menerima kenyataan yang ditakdirkan Allah dan mengakuri segala perintah-Nya, jika semua itu tidak bersesuaian dengan nafsu, keinginan serta cita rasa hatinya.

Namun, bagi insan yang mengakui banyak kelemahan dan diri hanya tidak lebih sekadar hamba yang hina serta tidak mempunyai apa-apa, maka sudah tentu menerima kenyataan adalah perkara mudah dan menjadi amalan sepanjang kehidupan tanpa rasa takut atau bimbang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Hikmah di sebalik suruhan Rasulullah SAW tadi, sifat tawaduk akan pasti melahirkan akhlak terpuji iaitu tidak akan menganiaya orang lain bahkan tersemai perasaan menyayangi saudaranya.

Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Sesungguhnya orang yang sombong akan dihumbankan ke neraka Jahanam seperti keterangan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bersifat sombong dan tidak patuh kepada-Ku akan diazabkan di dalam neraka Jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Selain itu orang yang bersikap zalim (aniaya) terhadap orang lain kerana semata-mata ingin melempias sifat sombong atau menunjukkan kehebatan, maka Allah akan menyegerakan balasan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak suatu pun dosa yang lebih patut atau lebih berhak disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia di samping nanti bakinya akan dikenakan lagi di akhirat, melainkan dosa berbuat aniaya (zalim) terhadap orang lain, dan memutuskan tali kekeluargaan (persaudaraan).” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Dalam memperelok budi pekerti dan akhlak Muslim sejati, maka adalah sangat bertepatan jika merenungi sabda Rasulullah SAW dengan penuh yakin dan keimanan yang tidak berbelah bagi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak mengurangkan harta kerana sedekah. Allah menambah kebesaran (kehebatan) seseorang yang minta maaf dan meninggikan darjat orang yang tawaduk.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menyatakan ada tiga perkara sering kali diabaikan oleh orang bodoh, sombong serta tidak berfikiran jauh dan matang iaitu:

# Bersedekah - orang yang bersedekah tidak pernah dikurangkan hartanya, bahkan ditambahkan lagi oleh nikmat-Nya bagi orang yang mahu bersyukur.

# Minta maaf kerana bersalah - orang yang sombong menganggap minta maaf menandakan kelemahan lalu lebih baik meneruskan perkelahian daripada berdamai. Padahal, meminta maaf tandanya orang yang tawaduk dan suka kepada keharmonian hidup dalam masyarakat.

# Menerima kenyataan kebenaran - harga diri seseorang tidak akan jadi rendah dan hina bila bertawaduk. Bagi orang yang sombong, tidak mahu menerima kebenaran yang ada pada orang lain, bahkan berasa terhina untuk mengakui dan mengiktiraf kebenaran itu. Lihat saja kelakuan Rasulullah SAW, menerima apa saja bentuk pemberian tanpa sedikitpun rasa tidak puas hati.

Apabila kita perhatikan ketiga-tiga sifat yang disebutkan itu, semuanya mencerminkan akhlak mahmudah yang sinonim dengan ajaran Islam dan selalu diamalkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya tawaduk bukan bermakna kita berasa diri serba kurang, tidak berharga dan kurang harta. Tawaduk sebenarnya berasa sedar, insaf bahawa diri kita berasal dari tanah yang sama kecuali amal bakti dan takwa yang membezakan.

Rabu, 18 Februari 2009

Isnin, 16 Februari 2009

Ingatan Agong: Hormati Perlembagaan Persekutuan

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan. Baginda bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara."Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, lapor Bernama.Seri Paduka turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum. "Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan," titah baginda sambil menerima tepukan meja yang gemuruh daripada anggota dewan.Baginda bertitah bahawa hak setiap rakyat di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipelihara dan dihormati."Sehubungan ini, Beta menyeru semua rakyat bersama-sama meningkatkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara. Kepelbagaian kaum dan budaya yang dimiliki hendaklah digembleng menjadi kekuatan negara kita," titah Seri Paduka. Jangan persoal kedudukan IslamTuanku Mizan juga mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan tidak mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengenai berita palsu dan fitnah yang disebar pihak tertentu termasuk melalui laman blog sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan rakyat, baginda mahu rakyat berhati-hati dan bijak menilai maklumat yang tersebar."Sesungguhnya kita harus belajar daripada sejarah di mana kejatuhan sesebuah empayar dan tamadun adalah berpunca daripada fitnah, hasad dengki dan perpecahan di kalangan rakyat," titah baginda. Baginda juga mahu pengamal media termasuk penulis blog supaya lebih beretika dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan demimengekalkan keharmonian dalam masyarakat. Seri Paduka turut menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuktikan keikhlasan dan iltizam kerajaan mengotakan janji untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. "Bagi memastikan usaha pembanterasan rasuah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, SPRM perlu dianggotai oleh pegawai-pegawai profesional, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi serta terlatih dalam pelbagai bidang," titah baginda. Tuanku Mizan bertitah bagi menarik golongan tersebut berkhidmat, SPRM akan menyediakan skim perkhidmatan dan saraan yang lebih baik bagi mengiktiraf para pegawai suruhanjaya itu di atas peranan dan sumbangan penting mereka dalam meningkatkan integriti dan membanteras jenayah rasuah di negara ini.

Melonjak martabat negara

Baginda bertitah penubuhan SPRM dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah bukti bahawa kerajaan berpegang kepada janji dan yakin kedua-dua suruhanjaya itu akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti institusi berkenaan."Langkah kerajaan ini akan memantapkan lagi agenda negara dan seterusnya melonjakkan martabat negara di persada antarabangsa," titah baginda.Tuanku Mizan turut menitikberatkan mengenai pendidikan awal dan menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, badan bukan kerajaan dan badan korporat memainkan peranan membantu para pendidik untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa."Usaha-usaha memperluaskan pendidikan prasekolah akan terus dilaksanakan bagi memastikan peluang pendidikan diperoleh lebih awal. Di samping itu, transformasi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah akan dilaksanakan agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan akan datang," titah baginda.Baginda turut memuji tindakan tepat kerajaan yang mengadakan sidang khas Parlimen pada 12 Januari lalu bagi mengutuk tindakan Israel menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza."Kerajaan Beta sentiasa siap siaga berinteraksi supaya negara-negara kecil khususnya tidak ditindas atau ditekan atas alasan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia."Beta berbangga di atas kejayaan Malaysia mengusulkan supaya diadakan sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza," titah Seri Paduka.